10 May 2010

Pelajar Lemah Kerana Tidak Tumpu Kepada Pengajaran Guru Dalam Kelas

Dari pemerhatian dan pengalaman, ramai murid lemah dalam pelajaran atau tidak dapat mengekalkan kecemerlangan akademik kerana tidak memberikan tumpuan kepada pengajaran guru. Guru mengajar di hadapan, mereka bercakap sesama mereka di belakang atau menyiapkan latihan bukan bagi mata pelajaran yang sedang diajar oleh guru di dalam kelas atau berbincang sesama mereka bagi latihan yang sudah pun diajar oleh guru atau tertarik dengan perlakuan yang berlaku di luar bilik darjah.
Terdapat sebilangan besar murid dari kelas yang baik yang mungkin menganggap diri mereka sudah cukup baik atau telah pun mengikuti tajuk yang sedang diajarkan itu dari kelas tusyen di luar sekolah dan menjadi besar kepala dengan tidak mempedulikan guru yang sedang bersungguh-sungguh mengajar dalam kelas atau mereka membuat kerja / latihan yang tidak berkaitan langsung dengan pelajaran yang sedang diajar oleh guru dalam kelas atau lebih teruknya bercakap dan membuat bising sesama mereka sehingga mengganggu tumpuan guru yang bersungguh-sungguh sedang mengajar itu. Ada yang masih berdegil dan ambil tidak pusing walaupun telah ditegur oleh guru, mungkin kerana besar kepalanya telah mengatasi rasionalnya untuk menghormati hak guru yang sedang melaksanakan amanah mengajar dan rakan-rakan lain yang mahu memberikan tumpuan kepada pengajaran tersebut.
Mungkin golongan murid-murid yang dikatakan baik ini menganggap sekolah hanya sebagai kuda tunggangan rasmi untuk mereka mendaftar mengambil peperiksaan awam yang akan diduduki pada hujung tahun (sekolah dijadikan kuda tunggangan untuk membolehkan mereka memohon melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dengan lebih mudah) tetapi mereka tidak berminat mengikuti pengajaran yang dilakukan guru sekolah, sebaliknya lebih mempercayai atau mengikuti dengan bersungguh-sungguh pengajaran guru tusyen mereka. Bukan kerana guru tusyen mereka itu lebih baik atau lebih handal kerana hampir keseluruhan guru tusyen ini adalah juga guru-guru sekolah, dari sekolah lain, malah guru dari sekolah mereka sendiri. Puncanya mungkin kerana ibu bapa mereka telah membayar dengan wang untuk mengikuti tusyen itu, bukannya RM10, RM20 tetapi RM100, RM200! Jadi mungkin, supaya tidak merasa kerugian atau kiasu, mereka memberi tumpuan dan bersungguh-sungguh mengikuti kelas tusyen mereka. Di sekolah mereka tidak perlu membayar yuran pengajian selain dari yuran-yuran khas, maka murid-murid merasakan tiada kerugian kalau tidak mengikuti pelajaran dengan bersungguh-sungguh. Mungkin juga dalam kelas tusyen, mereka takut dipecat dari mengikuti kelas tusyen kerana kuasa memecat berada dalam tangan guru tusyen mereka dan ini pastinya akan mengaibkan mereka dalam kalangan rakan-rakan tusyennya.
Mungkin pihak berkuasa boleh memperkenalkan semula yuran pengajian bulanan bagi murid-murid yang belajar di sekolah seperti pada tahun 60an, supaya murid-murid akan menggunakan masa belajar di sekolah dengan sebaiknya, berbaloi dengan yuran bulanan yang dibayar oleh ibu bapa mereka sama seperti mereka membayar untuk mengikuti kelas tusyen.
Mungkin perlakuan yang ditunjukkan oleh murid-murid yang menghadiri kelas tusyen percuma boleh dijadikan sampel membuktikan hipothesis ini. Murid-murid ini juga tidak berminat dan tidak bersungguh-sungguh mengikuti kelas tusyen percuma yang dianjurkan kerana tiada rasa kerugian kerana tidak perlu membayar yuran. Mungkin kerana ini juga kelas-kelas tambahan percuma yang sering dianjurkan oleh sekolah atau oleh guru-guru secara peribadi tidak mendapat sambutan murid-murid. Mungkin ada antara mereka sedar PIBG atau badan-badan tertentu yang membayarkan yuran mereka tetapi wang itu tidak datang terus dari kocek ibubapa mereka. Jadi apa ruginya!
Mungkin ada pihak mengatakan pengajaran guru sekolah tidak menarik maka murid tidak berminat dan tidak mahu hadir dalam kelas tambahan percuma ini, tetapi sebaliknya apakah menariknya pengajaran guru tusyen yang sebahagian besarnya adalah guru-guru sekolah juga dan menggunakan kaedah pengajaran yang sama?
Tidak dinafikan tusyen telah membantu meningkatkan prestasi akademik murid-murid. Ini kerana tumpuan dan komitmen yang diberikan oleh murid-murid dan juga guru-guru dalam kelas tusyen. Tumpuan ini lahir dari perasaan tidak mahu mengalami kerugian terhadap yuran tusyen yang telah dibayar. Sekiranya tumpuan yang sama diberikan semasa pengajaran guru di sekolah dan percuma pula, bukankah ianya juga akan membawa kejayaan! Tetapi mungkin sudah menjadi tabiat manusia tidak menghargai perkara yang diperolehi secara percuma kerana ianya tidak merugikan.

3 comments:

ariza7071 said...

Saya mmg setuju dgn artikel ini. Melalui pengalaman sy mmg ada murid yg bodoh sombong sbb tidak mahu diajar walaupun belum lulus SPM. Sewaktu sy mengajar,mrk sebok menyiapkan tugasan guru yg mrk takuti.Mrk sebenarnya tidak tahu guru bukan utk ditakuti tp mesti dihormati. Macam mana nak dpt ilmu yg berkat jk pilih kasih sewaktu menyiapkan tugasan guru. Di samping itu mrk lebih berbangga dgn guru tusyen walaupun ada dikalangan guru tusyen belum pernah menanda kertas SPM sebenar.

Hanafi Wawi said...

Bagus artikel ini, saya pun setuju namun di sebalik senario ini kalau kita fikirkan bagaimanakah caranya kita nak mengembalikan fokus pelajar ini kepada pengajaran guru dalam kelas mungkin ada caranya ataupun rawatan yang boleh dibuat sebab masalah ini melibatkan dalaman diri pelajar. Rasanya perlu diberikan kursus kesedaran ataupun klinik khas pelajar yang hilang fokus dalam pelajaran

NKLpunya said...

Bajet 2012 menyaksikan PM dan juga Menteri Kewangan memansuhkan terus yuran khas sekolah. Berdasar kepada artikel di atas, mungkin keadaan dan sikap murid terhadap P&P di sekolah akan bertambag teruk. Guru-guru tusyen persendirian atau pusat-pusat tusyen akan menjadi lebih maju dengan keuntungan dari kutipan yuran tusyen yang meningkat. Makin suburlah pusat-pusat tusyen atau guru-guru yang memberi tusyen persendirian tumbuh macam cendawan selepas hujan. Oleh kerana hampir semua guru tusyen adalah dari kalangan guru maka komitmen P&P menjadi makin pudar dan luntur tetapi tidak pula boleh menyalahkan guru-guru berkenaan semata-mata kerana sikap murid-murid yang datang ke sekolah tidak lagi benar-benar mempunyai niat untuk mengikuti P&P dengan sepenuhnya tetapi sebagai kuda tunggangan rasmi sahaja. Pada keseluruhan, guru dan murid datang ke sekolah hanya melepaskan batuk di tangga sahaja iaitu memenuhi syarat rasmi telah datang sekolah untuk mengajar dan belajar. Sama ada matlamat tercapai atau tidak bukan lagi menjadi soal penting sebab ianya boleh dicapai di luar sana melalui tusyen yang berbayar. Yang berbayar pastinya lebih baik dan berkesan dari yang percuma, kerana masing-masing, guru tusyen yang menerima upah memberikan tusyen dan murid yang membayar yuran,tidak mahu merasa kerugian. Rawatan.... sudah pun banyak program dilakukan oleh guru-guru di sekolah, klinik, kesedaran, psikaitri, macam-macam bentuk tambahan, macam-macam bentuk latihtubi, macam-mana nama yang sedap-sedap dan lain-lain, tetapi .... tanyalah guru-guru termasuk guru yang memberikan tusyen.... sehinggakan program-program membawa stress yang amat sangat kepada guru-guru malah murid-murid sendiri. Para pentadbir pula merasa syok sendiri dan bangga kerana banyak program telah dapat dijalankan yang dikumpulkan bertimbun-timbun dan dalam keadaan yang sangat cantik dan kemas dalam fail-fail dokumentasi yang dengan bangganya dapat ditunjukkan kepada para pegawai atasan, pemantau atau nazir yang datang memantau kemenjadian sekolah-sekolah berkenaan. Kalau pegawai atasan, pemantau atau nazir termakan dengan laporan-laporan yang tersusun kemas dan indah dalam fail-fail dokumentasi itu, nescaya naiklah pangkat para pentadbir itu dan akan menjadi bertambah syok sendiri mengarahkan para guru di bawahnya menjalankan program-program meng'stress'kan itu. Ramai juga yang telah mengatakan 'pendidikan telah digadaikan demi untuk mencapai matlamat politik'! Adakah bajet yang memansuhkan semua bentuk yuran di sekolah dalam kategori in?

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...