26 December 2009

Kena Saman Polis

Kira-kira jam 8.00 malam, 24 Disember 2009, ketika penganut agama Kristian sedang sibuk membuat persediaan terakhir sebelum menyambut ketibaan Hari Natal, saya pula mengalami nasib malang kerana disaman oleh polis trafik.
Sebenarnya kejadian itu sepatutnya tidak berlaku sekiranya saya membuat pertimbangan yang rasional dengan tidak mengikut tindakan pemandu sebuah kereta Proton Waja di hadapan saya yang membuat belokan ke kanan memotong garis kembar jalan raya ke arah satu lorong sebagai jalan pintas mengelak dari menunggu lampu isyarat di hadapan jalan yang baru sahaja bertukar ke warna merah dan juga sebagai jalan pintas ke destinasi saya.
Aduh! saya nampak polis telah menunggu di hadapan sebaik sahaja saya telah membelok ke kanan masuk ke lorong jalan itu. Nak berundur sudah tidak boleh. Maka, kereta Proton Waja yang di hadapan saya dan kereta saya telah diarah berhenti.
Dalam hati timbul rasa kekesalan tidak terhingga kerana mengambil tindakan membuat belokan 'haram' itu. Tanpa berkata apa-apa saya menunggu dan membiarkan sahaja seorang polis trafik berpangkat koperal datang mengeluarkan surat menyaman saya. Dalam pada itu teringat saya kepada kata-kata anak saya yang memberitahu saya bahawa dia telah diberitahu oleh kawanya, anak seorang polis mata-mata gelap, bahawa adalah salah bagi pihak polis membuat operasi 'serang hendap' sedemikian. Tetapi saya mengambil tindakan mendiamkan diri dan menurut sahaja arahan polis trafik berkenaan dalam proses dia menyaman saya.
Ego manusia ialah tidak suka ditegur atau dicabar autoritinya. Jadi sekiranya saya bertanya atau bersuara, pastinya saya dianggap mencabar autoritinya, tidak kira sama ada benar atau tidak benar atau berbahasa lembut. Begitu juga jika saya membuat rayuan atau melakukan perkara yang boleh didakwa memberi suap. Jadi lebih baik saya mendiamkan diri disaman.
Tetapi, di dalam waktu saya berfikir-fikir itu dan menunggu polis datang menyaman saya, tiba-tiba saya nampak kereta Proton Waja di hadapan saya itu bergerak meninggalkan tempat itu tanpa diambil apa-apa tindakan. Dengan lain perkataan pemandu kereta Proton Waja itu telah dilepaskan oleh polis berkenaan dari dikenakan saman. Aduh! bertanya di dalam otak saya, di manakah konsistensi pihak polis ini dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang. Kenapakah ada dua bentuk tindakan di atas satu kesalahan yang sama! Macam manakah pihak penguatkuasa ini akan dihormati dan disegani sekiranya tindakan yang diambil tidak konsisten dan menimbulkan kecelaruan. Kalau begitulah tindakannya, bagaimanakah pengguna jalan raya akan setia untuk mematuhi peraturan-peraturan jalan raya.
Apa pun, pengajaran yang diperolehi dari episod ini adalah;
1. Sentiasa bertindak rasional ketika memandu.
2. Jangan langsung berfikir mengambil jalan pintas yang tidak dibenarkan.
3. Tidak perlu tergesa-tergesa ketika memandu yakni perlu sentiasa bersabar.
4. Sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.
Dalam pada itu, saya akan mencari jawapan sama ada benar pihak polis tidak boleh melakukan operasi 'serang hendap' ke atas pengguna jalan raya sebagaimana yang banyak kita perhatikan.

5 comments:

azhar ariffin said...

sir..kadang2 polis hendak cari makan utk diri sendiri je..

NKLpunya said...

Operasi 'serang hendap' itu ramai orang beranggapan itulah tujuannya, tetapi ego autoriti menafikannya. Ramai pun tahu. Yang pentingnya integriti, penghormatan, kepercayaan dan keseganan orang ramai telah mereka tercemar sukar hendak dikembalikan. Sebenarnya kalau mereka tidak berniat nak 'cari makan' tetapi melaksanakan proses penguatkuasaan dengan adil dan saksama, saya percaya orang ramai yang ditahan kerana melanggar peraturan tidak akan berhajat memberi suap atau merayu dilepaskan sekiranya kesalahan sememangnya telah dilakukan dan akan menerima sahaja tindakan saman yang dikenakan. Tetapi apa yang kita perhatikan dan dengar dari banyak cerita keadaan ini tidak berlaku. Adakah tindakan saman itu memberi pengajaran supaya kesalahan tidak dilakukan lagi? Saya rasa ramai akan melakukannya lagi kerana 'sakit hati' dengan niat tidak ikhlas dalam melaksanakan operasi 'serang hendap' itu. Analogi yang sama jika seorang guru membuat 'serang hendap' terhadap murid-murid dalam kes mendisiplinkan murid-murid di sekolah. Adakah tindakan ini akan memberi kesedaran kepada murid-murid supaya tidak melakukan perkara yang melanggar peraturan. Saya rasa tidak tetapi mereka merasa lebih seronok dan sakit hati untuk mencabar pihak autoriti sekolah.

azhar ariffin said...

saya setuju dgn pendapat sir..

cikgunikmie said...

saya pon ada "saman ekor" dua belum sattle...

zl.ng said...

Kah kah kah... cikgu Nik Mie, kena tunggulah sampai pihak polis bagi 'offer' discount, 50% kot. Kenapa orang Malaysia selalu disebut khasnya oleh pelawat luar negara sebagai orang lemah lembut, tetapi bila berada dalam kenderaan mereka bertukar menjadi 'monster'. Adakah ianya mempunyai kolerasi dengan cara pihak berkuasa melaksanakan penguatkuasaan undang-undang yang tidak mempunyai niat baik atau kaedah untuk menyedarkan orang ramai supaya mengikut peraturan. Adakah ia semata-mata satu instrumen untuk memenuhi cadangan kutipan kompauan yang akan dipungut seperti yang dibentangkan dalam bajet negara! Kalau begitulah maka ada unsur niat tak baiklah dan bukannya nak menyedarkan rakyat supaya mematuhi peraturan. Matlamatnya nak memenuhi kutipan kompaun seperti dicadangkan dalam bajet jadi kemungkinan besar dicarinya berbagai helah untuk menyaman pengguna bagi mengutip wang. Jadi tak ada niat baik untuk menyedarkan rakyat supaya mengikut peraturan tetapi rakyat menjadi lebih marah dan mencabar untuk terus melanggar peraturan. Sekali untung kalau satu kali langgar peraturan dan tidak ditangkap, 10 kali untung kalau 10 kali langgar peraturan dan tidak ditangkap. Jadi akhirnya dirasakan dapat balik keuntungan atau dapat bayaran balik (pampasan) ke atas kompaun yang dibayar bagi kesalahan yang dapat ditangkap dan dikenakan kompaun itu. Ini adalah psikologi manusia untuk mendapatkan bayaran balik atau dendam ke atas kerugian yang berlaku ke atasnya. Mungkinkah ini sebabnya kesalahan demi kesalahn tetap akan dilakukan walaupun orang ramai tahu itu adalah kesalahan dan bertukar menjadi satu keseronokan atau secara 'sub-concious' melawan pihak berkuasa yang bertindak tanpa niat baik atau bukan dengan niat sebenar untuk mengajar yang baik.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...