Soalannya Siapa Gagal Mendidik Masyarakat Beretika Dan Bermoral
Terima kasih kepada Ustaz Dato Badli Shah. Saya amat setuju dengan apa yang Ustaz berkata dalam video ini.
Cuma saya lebih suka tanya kenapa masyarakat kita ini boleh terjadi begitu buruk sekali. WHY? Mesti ada kesalahan-nya, mesti ada tempat di mana kesalahan itu mula wujud dan mesti ada orang yang bertanggungjawab atas kesalahan itu.
Bagi setiap perkara yang buruk itu mesti ada penyebabnya. Mesti ada Cause and Effect-nya. Ajaran Allah swt dan Rasul sangat jelas:
Apa jua kebaikan yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari dirimu sendiri. Dan Kami telah mengutus engkau kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul. Dan cukuplah Allah menjadi saksi - (An-Nisaa' 4:79)
Ayat ini bukan ayat ajaib yang syaratkan bahawa segala perkara buruk yang menimpa kita itu adalah salah kita - dengan secara otomatik dan tanpa perlu sebab. Maksudnya adalah apabila kita buat salah atau kita tidak peka cara betul atau kita tidak dapat bezakan panduan yang baik (hudan) daripada kata-kata kosong maka kita akan terima padahnya, "ia adalah dari dirimu sendiri".
Orang Melayu sudah lama faham perkara ini : satu contoh sahaja 'kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai'. Kalau buat rumah di tepi pantai satu hari nanti pasti akan dilambung ombak besar. Cause and effect.
Dalam negara kita golongan agama pun terlibat dalam politik. Mereka kata mereka-lah pejuang dan pembela agama Nombor 1. Dan mereka amat disegani oleh ramai agamawan lain.
Agamawan politik ini pun berpolitik hari-hari. Mereka memang mahir dengan seni politik. Mereka memang berebut peluang, kuasai peluang, menukar peluang jadi laba dan mereka guna laba itu untuk kekalkan kuasa politik mereka. Hari itu dia bermusuh, dia sanggup "kafirkan" lawan politik, hari ini dia boleh berkawan pula. Boleh ambil duit berjuta Ringgit daripada "musuh" lama. Semua beres.
Saya sangat setuju dengan Ustaz Badli Shah bahawa paling ramai pemain politik negara kita tidak perlu kepada prinsip dan moral. Mereka tidak ada tempat pun bagi etika yang baik.
Ini termasuk parti politik agamawan. Tetapi paling sikit (atau tidak ada pun) agamawan lain yang menegur mereka. Seolah mereka pun tidak pedulikan etika, norma atau hukum.
Dan apa yang saya lihat ialah apabila orang gunakan identiti agama (untuk tujuan apa pun) bukan saja mereka boleh menjadi candi pujaan tetapi sebarang salahlaku mereka boleh di-taichi kepada orang lain pula. Sesiapa yang berani menegur lembu-lembu suci ini akan dimarah pula atas tuduhan 'membuka aib orang agama'.
Contoh yang paling jelas ialah apabila seorang 'pak syeikh' terlibat pelbagai perbuatan salahlaku, termasuk amalan 'luar tabii' dan banyak lagi. Bertahun-tahun kemudian dia muncul sekali lagi dalam video entah apa yang telah disahkan 'video original' oleh Polis. Dan lagi bertahun-tahun kemudian al-kisahnya bersambung sampai ke hari ini - sekali lagi dengan melibatkan lelaki. Nauzubillah.
Jangan lupa kes lain melibatkan seorang pemimpin parti agamawan yang muncul dalam video entah apa juga. Tidak ada apa-apa tindakan diambil terhadapnya. Sebaliknya dia menang juga dalam pilihan parti itu. Mereka tidak peduli. Its ok.
Lagi pelik ialah bilangan penyokong dan 'tukang sorak' mereka boleh bertambah juga. Contohnya seorang agamawan glamour yang juga professor universiti dengan mempunyai berpuluh ribu pengikut telah isytiharkan bahawa dia telah "melihat" dalam hati batin 'pak syeikh' itu dan memberi jaminan "all clear". Dia tidak terlibat apa-apa kesalahan pun.
Sebaliknya orang yang bocorkan rahsia dan pecahkan tembelang mereka pula dimaki dan dicaci.
Saya lihat terlalu ramai agamawan tidak ambil peduli perbuatan yang tidak beretika, tidak norma atau menyalahi hukum jika ia melibatkan orang yang sewaktu atau sebulu dengan mereka. Maksudnya bila yang terlibat itu orang agama juga lah. Atau orang politik yang boleh memberi mereka laba dan jawatan berlaba.
Sekarang saya ada sedikit soalan untuk Ustaz Datuk Badli Shah Alaudin. Apakah peranan sistem keagamaan kita secara keseluruhannya untuk membangunkan masyarakat yang beretika dan bermoral?
Ustaz Badli Shah masih muda, usia 46 tahun, dilahirkan pada 1975. Mula Darjah Satu sekitar 1982. Pada masa itu pun pelajaran agama di sekolah sudah mula berkembang. Sekarang ini pelajaran agama diberi waktu belajar yang paling banyak di sekolah kebangsaan, 5 - 6 jam seminggu. Waktu pelajaran agama melebihi matapelajaran sains. Belum termasuk aktiviti lain seperti qiyamulail, sembahyang berjemaah, baca doa pagi dsbnya.
Dari Tadika (2 tahun), sekolah rendah (6 tahun), sekolah menengah (5-7 tahun), universiti (4 tahun) jumlahnya 19 tahun pendidikan itu termasuk pelajaran agama. Pelajar universiti dalam bidang kejuruteraan dan doktor perubatan pun belajar agama sampai ke final year.
Lepas itu kita hadhiri masjid pada hari Jumaat dan pada hari lain untuk berkhutbah dan berjemaah. Setiap Jumaat, Perdana Menteri, Menteri Besar, Menteri, ADUN, Ahli Parlimen pasti akan hadiri khutbah Jumaat. Saya yakin tak pernah berlaku kes Perdana Menteri, Menteri Besar, Menteri, Ahli Parlimen atau ADUN ponteng sembahyang Jumaat. Sebaliknya mereka selalu duduk di saf depan sekali.
Dalam TV dan radio pula ada ceramah itu dan ini, pertandingan serupa 'ratu cantik' untuk imam glamour. Yang terkini kita boleh berjumpa paling ramai ustaz glamour di Facebook, YouTube, TikTok dan macam-macam lagi.
Negara kita juga mempunyai banyak masjid dan surau. Contohnya di kawasan Lembah Pantai (sekitar Bangsar, Kerinchi, Pantai Dalam) terdapat lapan masjid yang besar dan banyak lagi surau - dalam jarak beberapa kilometer sahaja. Setiap tahun kerajaan sediakan bajet berbillion Ringgit untuk hal ehwal agama. Baitul Mal pun mempunyai dana terkumpul berbillion Ringgit.
Jadi apakah peranan begitu banyak pendidikan agama dari Tadika ke university, peranan perbelanjaan TAHUNAN berbillion Ringgit untuk agama dan pembinaan bepuluh buah masjid dengan belanja beratus juta Ringgit tetapi belum lagi terbentuk masyarakat yang beretika dan bermoral?
Merujuk rungutan Ustaz Badli Shah di atas, walaupun Menteri, ADUN, Menteri Besar dan Perdana Menteri menghadiri khutbah Jumaat sejak kecil, rupanya tidak ada kesan yang positif untuk merawat penyakit tidak ada etika dan tidak ada moral di kalangan orang politik. Apakah mereka yang sering duduk di saf depan sewaktu khutbah Jumaat itu tutup telinga mereka?
Dan kita belum lagi sentuh masalah rasuah dan suapan. Belum lagi menyentuh isu perkauman.
Kenapa pula negara jiran bukan Islam seperti Singapura yang tidak mengajar agama apa pun dalam kurikulum sekolah boleh menduduki Nombor 3 negara bebas rasuah ? Ahli politik dan Menteri mereka dilantik daripada orang yang beretika tinggi dan bermoral - tidak terlibat rasuah atau menjadi pelakon kecundang dalam video entah apa. Seorang sahabat pilot (bersara) tentera udara kita ceritakan apabila pilot tentera udara Singapura masuk restoran atau pub atau melawat negara lain mereka semua minum minuman yang sama - jus oren (orange juice). Mereka menjaga disiplin dan profesional.
Kesimpulannya sistem keagamaan dalam negara kita tidak memberi penyelesaian yang memuaskan untuk menangani isu dan masalah duniawi. Duniawi maksudnya perkara yang melibatkan kehidupan harian masyarakat kita.
Kita masih menghadapi masalah ibu tunggal - pihak agama belum lagi menyelesaikan masalah ini. Kita menghadapi masalah rasuah yang kronik tetapi presiden parti agama pernah berkata tidak ada hukuman bagi rasuah dalam undang-undang syariah.
Pada hal ayat Quran jelas melarang memberi suapan kepada hakim -
"Dan janganlah kamu makan harta di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan sebahagian dari harta manusia dengan berdosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)" - (Al-Baqarah 2:188).
Selain daripada pemimpin dan ahli politik tiada moral dan etika kita menghadapi masalah duniawi lain seperti dadah, minum air ketum, mat lajak, buli sekolah, madrasah dan universiti, sumbang mahram, cabul, rogol dan banyak lagi. Kesemuanya masalah duniawi - masalah kehidupan harian kita yang perlu penyelesaian segera. Di mana penyelesaiannya?
Kita bersyukurlah akhirat itu dalam tangan Allah swt.
Dipetik dari OutSyed The Box November 29, 2021