Kita selama ini diajar untuk menghormati orang yang lebih tua daripada kita. Pastinya, budaya menghormati orang yang lebih tua daripada kita merupakan amalan terpuji dan dituntut di sisi agama. Apabila budaya menghormati orang tua terus dipertahankan, secara
tidak langsungnya ia membuktikan bahawa tunjuk ajar yang diberikan oleh
ibubapa tidak sia-sia. Malahan, ia turut melambangkan keperibadian seseorang.
Bagi masyarakat di Timur, aspek ini cukup penting. Penting kerana ia
merupakan ciri utama yang membezakan dengan masyarakat di Barat. Budaya
ketimuran menekankan kepada “filial piety” dan ketaatan sementara di
Barat, ia lebih menjurus kepada kebebasan individu, hak asasi manusia
sekaligus mewujudkan vakum yang ketara.
Kata-kata orang tua ada menyebut apabila kita menghormati orang lain,
kita juga akan dihormati kemudiannya. Apa yang diperkatakan itu memang
ada kebenarannya. Namun demikian, dalam dunia yang semakin dibayangi dengan elemen
kebendaan dan pentingkan diri sendiri, amalan menghormati antara satu
sama lain kini tinggal omongan kosong sahaja.
Apabila bercakap mengenai sikap biadap atau kurang ajar, ia berlaku
di mana-mana sahaja. Di tempat kerja, rumah, sekolah, jalan raya bahkan
juga dalam pergaulan seharian dengan orang lain. Barangkali label paling sesuai yang boleh diberikan kepada orang yang
biadap ialah mereka mempunyai “siege mentality”. Bagi golongan ini,
mereka merasakan dirinya sentiasa betul manakala orang lain tetap
bersalah biarpun keadaan adalah sebaliknya.
Perhatikan sahaja
sikap kebanyakan pemandu di atas jalan raya. Saban hari, ada sahaja kes
yang mana pemandu menggunakan laluan kecemasan. Tidak cukup dengan itu,
ada pula yang gemar membunyikan hon apabila kenderaan di hadapan mereka
bergerak perlahan. Lebih memalukan, ada yang nekad untuk terus memandu biarpun lampu
isyarat di persimpangan menunjukkan warna merah.
Situasi di tempat kerja juga tidak kurang hebatnya. Cuma, tahap
kebiadapan diterjemahkan dalam gaya berbeza. Dalam konteks ini, pekerja
yang diletakkan di bawah pengawasan anda enggan menerima arahan dan
memberontak. Bermacam-macam kerenah cuba dicetuskan dengan harapan untuk
menyukarkan proses kerja. Entah apa yang ingin dibuktikan oleh golongan ini. Ingin tunjuk
lagak? Menarik perhatian ataupun semata-mata untuk menyakitkan hati
orang? Apakah manfaat yang mereka boleh perolehi dengan berkelakuan
sedemikian? Hanya mereka sahaja yang dapat menjawab persoalan itu.
Tidak kira di mana sahaja kita berada, sikap biadap perlu dikikis.
Jadilah seorang individu yang bersopan-santun dan sentiasa dikenang
sebagai masyarakat yang kaya dengan budi bahasa. Bukankah masyarakat
Timur terkenal dengan jolokan itu? Jangan biarkan sikap biadap menguasai diri kita. Ego hanya akan memusnahkan segala-galanya. Hayatilah mesej ini!