21 January 2012

Ketam Mengajar Anak Berjalan Betul


Semalam di dalam satu majlis taklimat persediaan untuk pencen di Shah Alam, bertemu dan berbual dengan seorang kawan rapat yang sama-sama mengajar di sebuah sekolah menengah yang kami amat sayangi dalam daerah Sepang yang juga merupakan sekolah pertama kami dalam sejarah profesion keguruan kami yang bermula kira-kira 32 tahun dahulu. Teringat dengan penuh nolstagia pengalaman suka duka kami sepanjang tempoh yang singkat kami berkhidmat di sekolah tersebut dan berlaku pada satu ketika kami telah bermusuh kerana keakraban kami telah diperlembukan oleh mereka yang tidak senang dengan kehadiran dan sumbangan tugas kami kepada sekolah dan hubungan rapat kami dengan pengetua sekolah, yang terkenal dengan ungkapan God will only help those who help themselves yang diucapkan pada hampir setiap kali perhimpunan rasmi sekolah. Yang aibnya dan amat mengecewakan kami apabila diketahui kemudian pengetua sekolah itu adalah jenis yang kikikukiki dan tidak boleh diharapkan, walaupun warna kulit kami serupa. Sepanjang perbualan kami, tidak sekali pun kami menyentuh atau menyebut perkara-perkara berkaitan dengan pengetua ini. Inilah bukti secara mutlak kebencian dan kekecewaan kami terhadap manusia ini. Sekiranya tidak, tidak mungkin peranannya dalam kenangan kami di sekolah pertama kami memulakan karier keguruan kami disepikan begitu sahaja. Bermula dari situasi itu kami secara tidak sedar membawa haluan kami masing-masing.

Perbualan kami berkisar kepada keadaan kami di sekolah kami masing-masing pada masa kini, dikait dan dicubit dengan nolstagia di sekolah pertama kesayangan kami itu. Perkara yang paling menyentuh perasaan dari cerita kawan rapat ini ialah beliau telah ditukarkan sekolah dari sekolah yang beliau telah lama berkhidmat dan bercadang untuk pencen di situ di Petaling Jaya ke sebuah sekolah di Selayang kerana disyaki sebagai dalang yang mendedahkan penyelewengan berhubung dengan elaun 5% PPSMI yang dilakukan oleh ketua sekolah lamanya.

Diceritakan bahawa ketua sekolah lamanya, seorang yang kononya aktif dan sering tiada dalam sekolah kerana dijemput dalam berbagai majlis ilmu atau tak ilmu, telah diperuntukan jadual waktu hantu (phantom time-table) yang mengandungi mata pelajaran PPSMI yang melayakkan beliau menerima elaun 5% PPSMI. Tetapi pada hakikatnya ketua sekolah ini tidak mengajar mata pelajaran tersebut sebaliknya telah di cover dalam jadual mengajar seorang guru lain. Bermakna dalam jadual waktu terdapat dua orang guru bagi satu mata pelajaran PPSMI tersebut. Tujuannya nyata dapat dispekulasikan adalah untuk melayakkan penerimaan elaun 5% PPSMI. Kawan rapat ini mengatakan tidak mengapalah ketua sekolahnya itu melakukan perkara haram itu. Terpulang kepada kata hatinya menerima gaji haram sedemikian.

Bagaimanapun perkara yang menyebabkan kawan rapat ini menjadi bengang ialah apabila di dalam mesyuarat-mesyuarat guru, ketua sekolah ini sering mengingatkan guru-gurunya supaya sentiasa beramanah dan ikhlas semasa mengajar anak didik di dalam kelas-kelas masing-masing supaya gaji yang mereka terima setiap bulan adalah yang halal dan bukannya gaji haram.

Entah bagaimana pihak berkuasa atasan telah datang ke sekolah kawan rapat ini pada satu hari bagi menyiasat perkara ini. Pihak-pihak tertentu di sekolah telah disoal untuk mengesahkan kebenaran penyelewengan. Seperti kebiasaannya dalam budaya kikikukiki, ramai yang berani dan cakap berdegar-degar di belakang tetapi takut dan bersubahat bila dikedepankan, maka tiada eviden kukuh untuk disabitkan penyelewengan bagi aduan yang entah dari siapa dan kawan rapat ini mengatakan bukan dia yang buat aduan kepada pihak atasan.

Hasil dari siasatan itu, kawan rapat ini bersama beberapa orang geng rapatnya telah ditukarkan sekolah, elaun 5% PPSMI ketua sekolah ini telah ditarik balik tetapi yang menakjubkan ketua sekolah ini dinaikkan pangkat lagi dan bertukar ke sebuah sekolah yang lebih glamour sebagai ketua sekolah juga. Begitulah cara penyelesaian yang sering dilakukan.

Nampak gayanya untuk cepat naik pangkat bagi seseorang yang sudah berpangkat ialah dengan menimbulkan masalah. Apabila masalah ini menjadi benar masalah, penyelesaiannya ialah dipindahkan tuan punya badan berkenaan dan dinaikkan pangkat lagi.

Kasihan kepada yang mereka yang mempedomani 'saya yang menurut perintah', sampai ke tualah masih tak dinaikkan pangkat, sebaliknya sentiasa diperlembukan...

Irony nya, perkara yang paling menjijikkan seperti kata kawan rapat ini, betapa hipokritnya ketua sekolahnya yang mana sering mengingatkan guru-guru dibawahnya supaya tidak menipu dalam tugas supaya gaji yang diterima setiap bulan bukannya haram tetapi dia sendiri melakukan penyelewengan yang membolehkannya menerima elaun haram. Dengan kata lain, gaji dari penyelewengan orang bawahan adalah haram, gaji dari penyelewengan dan salah guna kuasa sendiri adalah halal.

Teringat kepada dua situasi di sebuah sekolah berdekatan: Pertama; seorang ketua sekolah telah sering diadu menyalahguna kuasa oleh guru-gurunya, ibubapa dan masyarakat setempat. Ketua sekolah ini dikhabarkan telah menggunakan connection godfathernya di atas untuk bertahan dan berlindung. Apabila connectionnya di atas itu bersara wajib dan kini tiada siapa yang boleh melindunginya maka sebagai jalan penyelesaian ketua sekolah ini telah ditukarkan secara mendadak dengan kenaikan pangkat ke sebuah institisusi pendidikan dengan gelaran kuasa yang lebih glamour, walaupun bukan menjadi ketua institusi tersebut.

Situasi kedua; seorang ketua sekolah, kebetulan menggantikan ketua sekolah yang ditukarkan secara mendadak itu, semasa beliau sebagai seorang guru biasa, setiap hari keluar dari sekolah dengan motosikalnya semasa waktu bertugas untuk minum/makan pagi, kemudian ke syarikat broker sahamnya untuk berdagang saham atau lain-lain urusan tidak rasmi. Perkara ini diketahui dan menjadi perbualan ramai. Apa pun akhirnya dia juga dinaikkan pangkat sebagai ketua sekolah. Kini anak-anak buahnya secara berkumpulan telah diperhatikan oleh orang ramai sering berada diluar sekolah pada waktu bertugas untuk makan/minum atau melakukan perkara-perkara lain yang tidak rasmi. Apakah ketua sekolah ini nak buat... Kalau diambil tindakan, pastinya anak-anak buahnya itu akan menyoal balik kepada ketua sekolah ini; bukankah awak melakukan perkara yang sama malah lebih berat semasa awak sebagai seorang guru biasa... atau ...tak payahlah nak berhipokrit menegur kami kerana keluar dari kawasan sekolah semasa bekerja pada hal awak dulu pun macam itu atau lebih teruk dari kami.

Salah guna kuasa berkaitan phantom time-table dan situasi diceritakan diatas sudah lama diketahui ramai. Tetapi yang menyebabkan kita muntah ialah apabila sipenyeleweng yang berkuasa itu mengingatkan anak-anak buahnya menjadi malaikat semasa bertugas supaya ganjaran yang diterima halal, seolah-olah ganjaran haram yang dia terima itu halal juga. Ini seperti kata perumpamaan, ketam mengajar anaknya berjalan betul.... kah..kah..kah....

Aduhai.... agama dan nama Tuhan selalu dijadikan perisai bagi melindungi penyelewengan. Elok juga diterima cadangan Tun Dr. Mahathir iaitu menggunakan kaedah bersumpah dengan nama Tuhan bagi membuktikan kebenaran... kah..kah..kah...






0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...