09 May 2011

Aduhai!... Sekolah Ganti Hari Sabtu

Buat kerja yang tiada makna! Datang bekerja semata-mata memenuhi syarat untuk hadir tetapi kerja yang dibuat tidak seperti yang diobjektifkan.

Itulah keadaan sekolah ganti hari Sabtu. Entah berapa kali sekolah ganti hari Sabtu telah dibuat., saya pun tak ingat, lantaklah.... Yang terakhir ialah Sabtu lepas 7 Mei 2011 kerana mengganti perayaan Deepavali pada bulan November 2011. Sebelum ini sekolah ganti hari Sabtu seperti ini telah dijalankan bagi menggantikan Perayaan Tahun Baru Cina pada bulan Februari lepas dan Raya Aidil Fitri pada September 2011 nanti.

Baik betul pihak berkuasa di KPM kerana prihatin dengan perasaan para guru dan murid yang ingin merayakan perayaan masing-masing dalam tempoh yang panjang. Maka sekolah ganti Sabtu dirancang dengan awal.

Tapi, tidak pasti sama ada pihak berkuasa berkaitan dengan pelajaran atau pendidikan sedar bahawa kehadiran murid pada sekolah ganti hari Sabtu itu sangat mengecewakan! Ada kelas yang tiada langsung murid yang hadir.

Guru-guru sentiasa diingatkan melakukan penambahbaikan ke atas sesuatu program pendidikan yang telah dilaksanakan atau membuat kajian tindakan untuk mengatasi kelemahan atau masalah dalam pendidikan yang dikenal pasti.

Nah! Ini dia masalah yang nyata terpampang di depan mata iaitu majoriti murid yang tidak hadir ke sekolah ganti hari Sabtu. Apakah pihak yang berwajib telah melakukan kajian tindakan bagi mengatasi masalah ini?

Agak mudah sahaja bagi pihak berwajib iaitu mengarahkan pihak pengurusan sekolah berfikir di luar kotak dan bertindak dengan luar dari biasa bagi menarik murid-murid hadir ke sekolah pada sekolah ganti hari Sabtu. Mengarah memanglah senang, tapi bagi pihak yang melaksanakannya.... adakah pihak berwajib itu sedar seksanya!

Pihak pengurusan sekolah tidak boleh disalahkan 100% dalam perkara ini kerana mereka telah melakukan pelbagai cara bagi menggalakkan murid hadir ke sekolah, tetapi majoriti murid masih tidak mahu hadir ke sekolah ganti hari Sabtu. Ada sekolah yang sudah ketandusan idea. Idea bukan senang datang begitu sahaja. Adakala idea yang dilaksanakan memakan diri seperti mendapat tentangan pihak-pihak tertentu, terutama dari ibu bapa atau penjaga.

Apa pun, soalnya, adakah pihak berwajib telah melakukan kajian tindakan bagi mengatasi masalah ketidakhadiran murid-murid pada sekolah ganti hari Sabtu, sebagaimana guru-guru sentiasa diingatkan melakukan kajian tindakan?

Ada guru yang sudah menyindir, seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul!

Satu pandangan... apakah salahnya kaedah yang telah dilaksanakan pada tahun-tahun 1990'an dan awal 2000'an di mana penetapan cuti persekolahan di fleksibel dengan mengambil kira cuti perayaan iaitu menetapkan cuti persekolahan pada cuti perayaan yang panjang itu. Tidak timbul pun soal sekolah ganti hari Sabtu dan masalah ramai murid tidak hadir pada sekolah ganti itu.

Kini timbul pula satu rungutan dari para guru, iaitu guru tidak lagi dapat menikmati cuti pada hari Sabtu kerana kena hadir hampir setiap hari Sabtu untuk aktiviti sekolah ganti dan majlis-majlis lain anjuran sekolah dan pihak-pihak berkuasa pendidikan yang lain! Perjuangan para guru untuk mendapatkan cuti hari Sabtu kini dinikmati dengan sepenuhnya oleh penjawat-penjawat awam yag lain. Alahai guru... padan muka kamu!

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...